CATATAN PERJALANAN MENUNAIKAN UMRAH

oleh : Mustaffa Siraj

BAITULLAH...tetap padat dengan jemaah pada waktu subuh

BAITULLAH...tetap padat dengan jemaah pada waktu subuh

Perjalanan saya menunaikan Umrah bermula pada 3 Jun apabila  saya bersama isteri  dan rombongan Umrah YADH Travel meninggalkan Batu Pahat menuju ke Lapangan Terbang Changi di Singapura. Dari situ kami menaiki pesawat Saudi Air menuju ke Jeddah pada jam 5 petang.

Perjalanan selama 10 jam memang menarik. Pesawat 747 itu membawa 400 penumpang  dan kebanyakan pramugarinya adalah rakyat Indonesia. Mereka manis dan mesra. Kami dilayan dengan baik. Makanan yang disediakan  sesuai untuk selera rakyat Malaysia, iaitu nasi minyak dan lontong. Kami tiba di Jeddah jam 10 malam waktu Arab Saudi. Kami berniat Ihram serta memakai ihram semasa di kapal terbang  lagi.

Kami kemudian menaiki bas  dari Jeddah ke Mekah, sejam perjalanan. Setelah selesai urusan pendaftaran masuk di hotel penginapan di Mekah, kami bergegas ke masjidil Haram untuk menunaikan Umrah. Saya dilanda keharuan apabila melihat Kaabah untuk pertama kali di hadapan mata. Selama 40 tahun menghadap kiblat, kini Baitullah tersergam indah di hadapan mata… Hati siapa tidak terharu. Kami bertawaf 7 kali keliling Kaabah. Kemudian kami bersai’`e, iaitu berjalan kaki antara Safa dan Marwah sebanyak 7 kali diikuti dengan bertahlul (bergunting rambut) tanda selesai Umrah.

SAI'E...Jemaah berjalan dari Safa ke Marwah

SAI'E...Jemaah berjalan dari Safa ke Marwah

Urusan Umrah pertama itu selesai dalam temp0h 3 jam. Syukur! Walaupun pada ketika itu jam 2 pagi, namun orang tetap ramai dan dari pelbagai negara. Yang  jelas, ada yang datang dari Iran, Turki, Syria, Indonesia dan India. Tidak kira siang atau malam, jemaah Umrah tetap ramai dan Masjidil Haram dibanjiri insan serata alam. Saya betul-betul teruja dengan senario itu. Islam itu indah!

Walaupun penat, kami puas. Tambahan pula menikmati makanan yang disediakan pengendali katering rakyat Indonesia. Menunya hampir sama seperti menu yang biasa kita makan – nasi campur, sambal goreng, sambal tumis semuanya ada! Setelah berehat di hotel, kami akan ke masjidil Haram untuk beriktikaf sambil membaca Quran, bersolat sunat atau berdoa di hadapan Kaabah. Walaupun berjam-jam menghadap Kaabah, kami tidak bosan. Hati rasa tenang dan syahdu…

Pada keesokan harinya, kami dibawa melawat ke Jabal Nur, tempat Nabi Muhammad (saw) bersembunyi sebelum berhijrah. Kami juga melawat Jabal Rahmah, tempat Nabi Adam bertemu semula dengan Siti Hawa. Cuaca memang panas, menghampiri 50 darjah Celcius. Seterusnya kami di bawa ke Jabal Thur, tempat wahyu pertama dan melawat ke Muzium Mekah Di situ ada Quran besar tulisan tangan, replika pintu Kaabah dan Maqam Ibrahim. Terdapat banyak foto sekitar Masjidil Haram dan Kaabah sejak beratus tahun lalu.

Kami juga dibawa melawat ke ladang ternakan unta. Kami diberitahu bahawa unta ialah haiwan ajaib, di mana setelah makan, haiwan itu boleh berjalan tanpa makan lagi selama 40 hari. Susu unta memang pekat. Hati unta juga dijual dan dikatakan boleh merawat pelbagai penyakit.

Selama 7 hari di Mekah, diisi dengan pelaksanaan Umrah dan beribadah di Masjidil Haram. Saya bersyukur kerana berpeluang mengucup  Hajaral Aswad, walaupun terpaksa berhimpit-himpit agak lama. Gembira juga melihat berpuluh-puluh ribu jemaah bergerak beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram setiap kali waktu Solat.  Pintu Masjidil Haram sungguh banyak dan kita boleh tersesat jika silap pintu dan mungkin hilang kasut kerana Masjidil Haram sungguh besar. Kami tidak jemu-jemu minum air Zam2 yang sungguh banyak diletakkan di dalam dan di perkarangan masjid. Memang menyegarkan badan dan kisah tentang khasiat air zam2    telah banyak diperkatakan. Kisah seorang pesakit kanser yang kronik yang sembuh sepenuhnya kerana mengamalkan minum air zam2 memang benar-benar terjadi.

Melihat kehadiran orang yang begitu ramai, saya kagum sekali. Itu baru Umrah, kalau musim Haji, tentulah jauh lebih ramai. Melihat begitu ramai yang beriktikaf dan beribadah di masjidil Haram, membuat kami bersemangat untuk mengisi masa di sana.

Pada hari ke 8. kami bergerak ke Madinah. Perjalanan lebih 5 jam  dan dianggarkan lebih 500 kilometer itu melalui kawasan padang pasir yang kering kontang. Terbayang bagaimana Nabi Muhammad berhijrah dari Mekah ke Madinah dengan menaiki unta dalam perjalanan lebih sebulan. Menurutu pemandu kami, sudah lebih setahun tiada hujan.

Sesampainya di Madinah, hati kami menjadi tenang. Hal ini kerana bandarnya amat bersih, nampak kurang sibuk  dan agak banyak tumbuhan hijau serta keadaan dalam bandar nampak  teratur. Setelah mendaftar masuk di Hotel Taibah, kami bergegas ke Masjid Nabawi, kira-kira 100 meter dari hotel. Setelah solat, kami tidak sabar-sabar pergi ke makam Nabi Muhammad. Sekali lagi kami dilanda keharuan. Insan terbaik yang menjadi sanjungan kami bersemadi di hadapan kami. Di sana, kami bersolat di kawasan Raudhah, tempat yang mustajab berdoa. Kami memberi salam kepada Baginda, bersalawat dan berdoa.

Di Madinah, kami melawat masjid Quba`, masjid yang pertama didirikan dalam Islam. Kemudian kami dibawa ka Bukit Uhud, tempat bersemadi Saidina Hamzah bapa saudara Nabi Muhammad (saw) dan para syuhada perang Uhud. Terbayang peperangan Uhud berlangsung berabad-abad lalu apabila pemandu kami bercerita tentang peperangan tersebut. Dikatakan pernah terjadi banjir besar dan pusara para syuhada telah terbongkar. Didapati mayat yang sekian lama dikebumikan , tetapi didapati dalam keadaan seperti baru sahaja meninggal dunia. Insaf kami dengan kuasa dan keagungan Allah.

Kami juga dibawa ke pasar kurma. Kami membeli kurma Ajwa, iaitu kurma yang ditanam Nabi Muhamad. Harganya 60 Riyal sekilo. Pada musim Haji, harganya 100 Riyal sekilo.  Kami juga pergi membeli-belah di sekitar Madinah. Anehnya, peniaga Arab fasih berbahasa Melayu!  Ungkapan `selamat datang’, `masuk abang kakak dan ‘belilah di sini’ memang biasa bagi mereka. Malah mereka boleh berbual dengan kita dalam Bahasa Melayu! Peniaga Arab sudah biasa berhadapan dengan rakyat Malaysia yang menunaikan Haji dan Umrah. Ada seorang peniaga Arab memanggil saya `Sultan Brunei!`

Setelah 4 hari di Madinah, sampailah saat dan ketika yang menyedihkan – meninggalkan kota Madinah. Meninggalkan makam Rasulullah dan Masjid Nabawi. Kami berdoa agar kunjungan kami  ini bukan kunjungan yang terakhir. Kami berdoa agar diampunkan dosa dan dikurniakan Allah hasanah dunia dan akhirat.

Jika kami ke Tanah Suci Mekah dan Madinah dengan rasa tidak sabar untuk tiba di sana, kami pulang dengan hati yang sungguh berat meninggalkan pergi. Tergambar Kaabah yang tersergam indah dan kebanjiran insan setiap waktu. Tergambar suasana meriah dan penuh sesak di dalam dan perkarangan Masjidil Haram pada waktu malam sampai ke pagi. Pendeknya segalanya manis, indah dan mendamaikan jiwa.

Penerbangan pulang  kami juga dengan pesawat Saudi Air. Perasaan kami bercampur-baur. Berat untuk kembali, pada masa yang sama kami ada keluarga dan kampung halaman menanti. Banyak foto yang kami rakamkan, mengubat kerinduan kami pada Tanah Suci.

Ya Allah, berkati perjalanan ini dan izinkan kami kembali ke Tanah Suci…. Amin

-SMKPS

About these ads

About SMK PENGHULU SAAT

Sekolah Menengah Kebangsaan Penghulu Saat Kampung Parit Raja Ahmad, 83500 Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Kod Sekolah : JEA 0022 Lokasi Sekolah SMK. Penghulu Saad terletak di Mukim 18, pekan Parit Sulong. Jaraknya daripada Bandar Batu Pahat kira-kira 25 kilometer. Di kawasan pekan Parit Sulong terdapat 2 buah Sekolah Menengah iaitu SMK. Penghulu Saat terletak di belakang SMK. Dato’ Sulaiman. Sejarah Sekolah Tahun 1976 : Tn. Hj. Daud Bin Ibrahim Pengetua SM. Dato’ Sulaiman telah mencadangkan pembinaan Sek. Men. Ren. Parit Sulong sebagai Sekolah Menengah ke-2 selain daripada SM. Dato’ Sulaiman di kawasan Parit Sulong ini. Tahun 1977 : Perancangan pembinaan SMR ke-2 di Kg. Parit Raja Ahmad, Parit Sulong di atas tapak No. Lot Tanah: 011873 dengan keluasan 42539m². Tahun 1978 : Pembinaan SMR ke-2 dimulakan. Akhir tahun 1980: SMR ke-2 telah siap pembinaannya. 04 Januari 1981: SMR. Parit Sulong mula diasaskan. SMR. Parit Sulong ini adalah cawangan kepada SM. Dato’ Sulaiman. Pada ketika itu segala pentadbiran sekolah ini di bawah pengurusan Pengetua SM. Dato’ Sulaiman. SMR. Parit Sulong ketika itu terdiri daripada : Jumlah pelajar = 220 orang Jumlah guru = 13 orang Jumlah kakitangan = 3 orang Jumlah kelas = 7 buah Pelajar SMR. Parit Sulong datang dari 7 buah Sekolah Rendah berhampiran iaitu :  Sek. Keb. Seri Chantek  Sek. Keb. Seri Tiga Serangkai  Sek. Keb. Parit Sulong  Sek. Keb. Seri Maimon  Sek. Keb. Seri Laksana  SJK. (C) Parit Sulong  SJK. (C) Kangkar Senangar 15 Disember 1982 : Pentadbiran SMR. Parit Sulong dipisahkan daripada SM. Dato’ Sulaiman dan En. Abd. Rahim Bin Hamzah menjadi Pengetua pertama sekolah ini. Beliau berkhidmat hingga 15 Disember 1983. 26 Oktober 1995 : Nama sekolah ditukar menjadi SMK. Penghulu Saat. Permohonan pertukaran nama ini dilakukan semasa pentadbiran Pengetua Tn. Hj. Syed Ali Bin Syed Salim dan telah diluluskan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (Unit Perancangan, Pembangunan dan Bekalan) pada 26 Oktober 1995. Nama sekolah ini, SMK. Penghulu Saat sebenarnya mengambil sempena nama seorang Penghulu ke VI Mukim Simpang Kiri iaitu MUHAMAD SAAD BIN KITAM. Muhamad Saat Bin Kitam merupakan seorang Penghulu yang paling banyak berjasa di kawasan pentadbirannya Mukim Simpang Kiri pada tahun 1917 – 1932. Hakcipta Terpelihara © 2009 SMK Penghulu Saat. SMK Penghulu Saat tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian, kehilangan atau kerosakan yang dialami dalam penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.
This entry was posted in KISAH DAN TELADAN. Bookmark the permalink.

3 Responses to CATATAN PERJALANAN MENUNAIKAN UMRAH

  1. Terima kasih kerana sya dapat membaca pengalaman puan ke Tanah Suci. Kini harapan saya agar segera dijemput oleh Allah untuk menunaikan Haji pula.

  2. SMKPS says:

    Terima kasih Hajah Faridah. Tak sangka puan membaca catatan saya.. Semoga doa puan dimakbulkan Allah…

    En Mustaffa

  3. hjh faridah says:

    semuga tuan dan isteri mendapat umrah yang mabrur dan sentiasa mendapat rahmat dan lindungan Allah sentiasa…amin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s