RUMAH BERANI MENGEKALKAN KEJUARAAN KEJOHANAN OLAHRAGA SMKPS 2013

Image
Tuan Haji Mahadon menyampaikan ucapan perasmian

Oleh : Mustaffa Siraj

Parit Sulong, 7 Julai – Rumah Berani mengekalkan kejuaraan Kejohanan Olahraga SMKPS tahun 2013, diikuti rumah Jaguh dan dan Mantap. Kejohanan dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Batu Pahat, Tuan Haji Mahadon Marnin.

Image
Kontinjen Rumah Kuat di  perbarisan lintas hormat

Dalam ucapannya, Tuan Haji Mahadon menekankan kepada para pelajar supaya aktif bersukan dan bukan sebagai kegiatan rekreasi semata-mata, malah mampu menjadi sumber pekerjaan bergaji lumayan.  Beliau gembira dengan pencapaian sekolah di bidang sukan dan permainan, di samping pencapaian baik di bidang akademik.
Image

Rumah Mantap johan hiasan rumah sukan

Terdahulu beliau menerima tabik hormat dari  kontinjen perbarisan, terdiri daripada badan pengawas, rumah-rumah sukan, pusat sumber dan unit-unit beruniform. Ikrar kejohanan dilafazkan oleh Mohd Fadli Sukiman.

Image

Rumah  Berani johan buat kali kedua berturut-turut
Dalam pertandingan hiasan rumah sukan, rumah Mantap muncul sebagai pemenang manakala rumah Kuat johan dalam pertandingan perbarisan lintas hormat. Cuaca yang redup sepanjang kejohanan melancarkan lagi kejohanan pada kali ini.

Image

Peserta rumah sukan bersaing hebat dalam kejohanan
Encik Mohsin Ibrahim, Pengetua SMKPS melahirkan rasa puas hati atas komitmen guru dan pelajar menjayakan kejohanan pada kali ini, yang dapat diselesaikan tepat jam 12 tengah hari.

-SMKPS

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | Leave a comment

USTAZAH NORHIDAYATI MOHD NOR BERTUKAR KE TERENGGANU

Ucapan Ustazah di majlis meraikannya

Ucapan Ustazah di majlis meraikannya

Oleh: Mustaffa Siraj

Setelah berkhidmat selama 8 tahun sebagai pendidik di SMK Penghulu Saat, akhirnya Ustazah Norhidayati Mohd Nor bertukar ke SMKA Kuala Abang, Dungun bermula minggu depan.

Beliau diraikan dalam satu majlis perpisahan yang ringkas tetapi bermakna di Bilik Panorama hari ini. Pengetua SMKPS menghargai jasa dan peranan beliau dalam menjayakan agenda sekolah. Cikgu Khamsuldin dan Puan Umi Kalsum pula mendeklamasikan sebuah sajak yang menyentuh keprihatinan, kesungguhan dan pelbagai perkara berhubung Ustazah Norhidayati.

Cikgu Khamsuldin dan Puan Umi mendeklamasikan sajak

Cikgu Khamsuldin dan Puan Umi mendeklamasikan sajak

 

Graduan Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia tahun 1999 ini mula berkhidmat di SMKPS pada 3 Januari 2006. Sepanjang bertugas di sini, beliau banyak membantu bidang pendidikan Islam, khususnya pengurusan Imam Remaja dan majlis keagamaan. Beliau juga pernah menjadi guru pemimpin Persaatuan Puteri Isla.

Beliau telah mohon untuk bertukar sebanyak 15 kali, namun baru kali ini berjaya. Maka dapatlah beliau kembali ke kampung halaman untuk bersama suaminya, Mohd Fadhli Omar beserta lima orang anaknya.

Ustazah Siti Nur (Panitia Pendidikan Islam) menyampaikan cenderamata kepada Ustzh Norhidayati

Ustazah Siti Nur (Panitia Pendidikan Islam) menyampaikan cenderamata kepada Ustzh Norhidayati

Semasa ditemui, beliau melahirkan rasa sedih kerana meninggalkan SMKPS yang telah serasi dan sebati kemesraan. Namun,dalam masa yang sama, beliau gembira untuk bersama keluarga tercinta. Beliau tidak lupa mendoakan SMKPS terus maju dan jaya.

Sidang Blog SMKPS mengucapkan selamat berjaya kepada beliau. Terima kasih diucapkan atas segala jasa dan bakti selama ini.


-SMKPS

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | Leave a comment

HARI TERBUKA DAN KEUSAHAWANAN SMKPS DILANGSUNGKAN

Ahli Kadet Polis di gerai jualan mereka

Ahli Kadet Polis di gerai jualan mereka

Oleh: Mustaffa Siraj
Parit Sulong, 3 JULAI – Hari Terbuka dan Keusahawanan selamat dilangsungkan hari ini. Seawal 7 pagi, ibu bapa mula hadir untuk berjumpa dengan guru-guru kelas untuk membincangkan aspek akademik anak-anak mereka.

Pada masa yang sama, ibu bapa pelajar Tingkatan 2 telah mendengar taklimat Penilaian Berasaskan Sekolah, yang disampaikan oleh Encik Razak Othman, Guru Penolong Kanan, bertempat di Bilik MBMMBI.

Pelajar berkaraoke di gerai Hebahan Encik Razib

Pelajar berkaraoke di gerai Hebahan Encik Razib

Sebanyak 18 gerai pula terlibat dengan jualan Hari Keusahawanan, membabitkan kelab, persatuan dan badan beruniform serta  beberapa buah  kelas. Antara barang yang diniagakan ialah nasi ayam, nasi kerabu, sate,  ice blended, otak-otak, makanan ringan dan jualan buku.

Ibu bapa dan anak-anak mereka telah berpusu-pusu di gerai jualan dan kebanyakan barang jualan telah habis dijual sekitar pukul 11 pagi. Yang paling laris ialah gerai air minuman sejuk seperti air teh bunga dan  tembikai susu.

DSCN1167

Pengetua SMKPS, Encik Mohsin Ibrahim gembira dengan komitmen pelajar dalam menjalankan perniagaan gerai masing-masing. Beliau berharap ada di antara pelajar itu akan menceburkan diri dalam perniagaan dan menjadikan hari keusahawanan ini sebagai latihan ke arah itu.

-smkps

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | Leave a comment

JEREBU YANG MEMBIMBANGKAN

Image

Pandangan jerebu dari  bangunan tingkat 3 SMK Penghulu Saat

Oleh: Mustaffa Siraj

Batu Pahat, 22 Jun – Situasi jerebu yang membimbangkan telah menimbulkan pelbagai masalah kepada sekolah, masyarakat dan negara. Situasi pada hari ini (Sabtu 22 Jun) tidak banyak berubah dan jarak penglihatan juga hanya kira-kira 200 meter.

Pada hari Khamis dan Jumaat (20-21 Jun), sekolah-sekolah di Muar, Batu Pahat dan Pasir Gudang telah diarahkan bercuti kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara berada di paras melebihi 300, iaitu tahap bahaya.

Keadaan demikian menyebabkan pelbagai aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah  dan pertubuhan luar tidak dapat dijalankan. Misalnya majlis hari terbuka, kejohanan olahraga, sukan kecil dan aktiviti pendidikan jasmani. Terkini, Festival Sains dan Teknologi peringkat negeri Johor yang dijadualkan minggu depan, telah dibatalkan.

Fenomena jerebu ini dikatakan berpunca daripada pembakaran hutan dan pembersihan kawasan untuk dijadikan kawasan perladangan.  Di Indonesia, kawasan  Riau, Bengkalis , Dumai dan Pekan Baru telah ,mengalami kebakaran hutan. Menerusi satelit, terdapat 101 titik panas di kawasan yang dinyatakan. Angin telah menerbangkan asap ke  pantai barat Semenanjung Malaysia dan Singapura. Semalam, IPU di Singapura mencecah 400.

Situasi yang dijangka kembali stabil esok, dijangka tidak menjadi. Hal ini kerana menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Metereologi Malaysia, Dr Mohd Rosaid Che Abas, angin ribut Tropika Bebinca yang berlaku di Sumatera dijangka membawa tiupan angin itu ke semenanjung Malaysia hingga Rabu depan ( 26 Jun)

Menurut Felo Forum Indonesia bagi Alam Sekitar, Encik Zenzi Suhadi, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan jerebu amat lemah di Indonesia, hinggakan pengusaha ladang berani membakar hutan secara terbuka tanpa diambil tindakan.

Kehadiran angin monsun barat daya (Jun hingga September) dijangka menambah parah masalah jerebu ini. Hal ini kerana angin monsun itu kering dan tidak membawa hujan. Maka asap jerebu akan dari kawasan titik panas akan tersebar luas ke kawasan lain, dan ketiadaan hujan memungkinkan seluruh semenanjung Malaysia  menerima kesan buruk. Menurut Jabatan Alam Sekitar, ada kemungkinan masalah jerebu ini akan berterusan sehingga September, iaitu kewujudan angin monsun timur laut yang biasanya membawa hujan lebat.

Usaha pembenihan awan untuk menghasilkan hujan yang mahu dijalankan oleh Malaysia, Indonesia dan Singapura  seperti yang sedang dirancang, perlu disegerakan. Tindakan tegas terhadap mereka yang membakar hutan perlu diambil segera. Malah di negara  kita, berdasarkan rakaman satelit, terdapat 11 titik panas. Pesalah perlu dihukum.

Bagi mengurangkan kesan jerebu kepada kita, banyaklah minum air masak dan kurangkan aktiviti luar. Pakailah topeng jerebu untuk menutup telinga dan mulut. Kita tidak mahu masalah kesihatan yang meruncing akan mengancam kesihatan rakyat umumnya.

-SMKPS

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | Leave a comment

SMKPS MERAIH TEMPAT KETIGA DRAMA KOMSAS DAERAH

DSC_0357

Penggerak utama ‘Gelanggang Tuk Wali’

PARIT RAJA, 19 JUN – SMK Penghulu Saat sekali lagi mencapai kejayaan dalam pertandingan koakademik apabila mendapat tempat ketiga pertandingan drama Komsas Bahasa Melayu yang berlangsung di SMK Tun Ismail, Parit Raja.

Pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu menarik 11 penyertaan dari sekolah-sekolah di Batu Pahat. Antara yang mengambil bahagian ialah SMK Tun Ismail, SMK Tunku Putra, SM Sains Batu Pahat, SMK Seri Gading dan SMK Senggarang.

SMKPS memilih drama Gelanggang Tok Wali. Pasukan dibimbing oleh Puan Umi Kalsum Idham dan Puan Azila Muharam, disertai oleh lima belas pelakon. Mereka telah berlatih sejak tiga minggu lalu.

Dalam pertandingan itu, SMKPS mendapat 298 mata, pasukan SMK Tunku Putera di tempat kedua mendapat 318 mata dan pasukan SMK Tun Ismail yang menjadi johan mendapat 345 mata.

Pasukan SMKPS membuat persiapan rapi, dengan membawa peralatan replika rumah, buah kelapa kering, kostum menarik dan solekan yang menepati tahap umur dan kematangan.

Guru pembimbing, Puan Umi Kalsum, jelas gembira dengan kejayaan ini dan memberi kepuasan kepada semua yang terbabit kerana mereka telah berpenat lelah berlatih sejak tiga minggu yang lalu. Beliau gembira dengan komitmen tinggi Puan Azilah dan barisan pelakon yang tidak jemu-jemu berlatih dan memperbaiki persembahan.

Tahniah kepada pasukan drama SMKPS!

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | Leave a comment

TAZKIRAH BULANAN BAGI BULAN JUN DILANGSUNGKAN

USTAZ ZAMZAINI SEDANG BERCERAMAH DI HADAPAN PELAJAR SMKPS

USTAZ ZAMZAINI SEDANG BERCERAMAH DI HADAPAN PELAJAR SMKPS

Parit Sulong, 14 Jun – Tazkirah Bulan Jun selamat diadakan pagi tadi dan tetamu undangan ialah Ustaz Zamzani Abdul Wahab, Guru SM Arab Parit Sulong.  Tazkirah diadakan di Dataran Kejat di hadapan 1,100 pelajar dan 70 orang guru.

Dalam ceramahnya, beliau menyentuh bulan Syaaban, khasnya pengisian bulan berkenaan. Menurut beliau, bulan Syabaan sewajarnya diisi dengan pertambahan amal ibadat, baik berpuasa sunat, membaca Quran, berzikir dan membuat pelbagai amalan mulia.

Menurut beliau, berpuasa sunat akan dapat menyediakan diri bagi menghadapi bulan Ramadan yang bakal menyusul. Amalan zikir seperti melafazkan Astaghfirullah, Allahu Akbar, Subhanallah dan sebagainya juga akan mendekatkan diri seseorang dengan Yang Maha Kuasa di samping mendapat pahala.

Ceramah bulanan selama setengah jam itu  mempunyai mesej yang jelas ke arah menjadikan kita insan bertakwa dan beriman.

-smkps

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | Leave a comment

FESTIVAL SAINS TEKNOLOGI BATU PAHAT – SMKPS JOHAN COOKING WITH NATURE, NAIB JOHAN KERETA SOLAR

PASUKAN COOKING SMKPS (JUARA 8 TAHUN BERTURUT-TURUT)

PASUKAN COOKING SMKPS (JUARA 8 TAHUN BERTURUT-TURUT)

BATU PAHAT, 12 JUN – SMKPS berjaya mengekalkan johan dalam pertandingan Cooking With Nature dan mendapat naib johan Kereta Solar dalam Festival Sains dan Teknologi Batu Pahat, yang berlangsung di SMK Tun Aminah hari ini.

Peserta Cooking SMKPS ialah Nurul Shafiqah Mochamat, Faiqah Najihah Abdul Rashid dan Nurul Rodiah Mohd Hadis. Mereka dibimbing oleh Puan Hasniza Hasnan dan Puan Hajah Siti Fatimah Sharah Hitam. Pasukan Kereta Solar dibimbing oleh Puan Junaidah.

PASUKAN KERETA SOLAR (NAIB JOHAN)

PASUKAN KERETA SOLAR (NAIB JOHAN)

Terdapat tujuh jenis pertandingan dijalankan , iaitu Kereta Solar, Bot Solar, Saintis Muda, Cooking With Nature, Roket, Inovasi Individu dan Inovasi Berkumpulan.  SMK Dato Syed Esa muncul johan dalam pertandingan Bot Solar dan Roket, Saintis Muda oleh TIGS, Kereta Solar oleh SMK Permata Jaya, Inovasi Individu oleh SMK Yong Peng dan Inovasi Kumpulan dimenangi SMK Dato Seth.

SEMUA GURU DAN PESERTA SMKPS BERGAMBAR KENANGAN

SEMUA GURU DAN PESERTA SMKPS BERGAMBAR KENANGAN

Hadiah-hadiah pertandingan disampaikan oleh Encik  Ab Rahim Lamin, Pegawai Pelajaran daerah Batu Pahat.  Dalam ucapan penutupan,  beliau menyeru para pelajar supaya mengamalkan budaya sains dan teknologi, menghayati falsafah Pelan Pembangunan Pendidikan Nasional dan berusaha menjaga alam sekitar yang kita miliki sekarang.

Tahniah diucapkan kepada pasukan Cooking dan Kereta Solar SMKPS. Anda memang hebat!

-smkps

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | Leave a comment