TEMASYA SUKAN DI SMKPS MENJANA KEPERIBADIAN UNGGUL

MEMBINA J.E.R.I YANG UNGGUL

MEMBINA J.E.R.I YANG UNGGUL

Oleh: Pn. Haryanti bt. Ahmad Haris
Gambar oleh: Kelab Multimedia SMKPS

BATU PAHAT, 17 Feb (SMKPS) – Bermula dengan paluan kompang, SMK Penghulu Saad sekali lagi menganjurkan Kejohanan Olahraga Ke-28 bertempat di padang utama sekolah.

Kejohanan diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia En. Zulkarnain b. Kamisan, Ketua Pemuda UMNO Parit Sulong merangkap Ahli Majlis Daerah Yong Peng selaku perasmi dan tetamu jemputan.

Beliau tidak jemu untuk menjadi tetamu jemputan bagi kali kedua. YDP PIBG juga tidak ketinggalan memberikan sokongan padu beliau bersama AJK Tertinggi PIBG.

PERBARISAN LINTAS HORMAT YANG PENUH BERGAYA

Perbarisan lintas hormat menjadi pembuka tirai dengan penuh gemilang dan cemerlang. Kontingen-kontingen yang mengambil bahagian terdiri daripada pelbagai Badan Unit Beruniform SMK Penghulu Saad dan Rumah-rumah Sukan yang bertanding.

Seperti Laksamana Hang Tuah, para pelajar yang terlibat dalam perbarisan lintas hormat ini melangkah penuh bergaya dan megah di hadapan para penonton kejohanan.

UCAPAN DARIPADA YANG DIKASIHI DAN DIHORMATI

Sesuatu majlis tidak akan lengkap tanpa ucapan dan perasmian pembukaan. Tuan Pengetua SMK Penghulu Saad, Puan Hajah Salbiah binti Maskan, telah diberi penghormatan untuk memberikan ucapan alu-aluan beliau terlebih dahulu.

Beliau begitu teruja, kagum dan amat berpuas hati dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para kontingen dalam acara perbarisan lintas hormat.

Sejurus selepas itu, Yang Berbahagia, En. Zulkarnain b. Kamisan memberikan ucapan beliau yang penuh dengan nasihat dan harapan. Beliau juga begitu terpesona dengan semangat dan iltizam yang dipamerkan oleh para kontingen perbarisan kejohanan.

KIBARAN BENDERA LAMBANG KEUNGGULAN

Berkibarnya bendera kejohanan dengan diiringi paluan kompang, maka secara rasminya Kejohanan Olahraga Kali Ke-28 SMK Penghulu Saad bermula.

Rumah-rumah Sukan yang mengambil bahagian pada kali ini ialah Rumah Hebat, Rumah Kuat, Rumah Megah dan Rumah Berani. Acara kejohanan dimulakan dengan acara larian 100M dan 400M dalam semua kategori yang dipertandingkan.

Semasa acara berlangsung, para penonton dihidangkan dengan aksi yang mendebarkan oleh para peserta yang bersaing sengit dalam kategori masing-masing. Ada yang gembira, ada yang berduka. Begitulah adat bertanding.

Para pengadil dan hakim begitu bijak mengadili setiap acara yang dipertandingkan sehingga tiada kedengaran suara bantahan ataupun ketidakpuas hati daripada para peserta mahupun Ketua Rumah Sukan.

Di samping berlangsungnya acara larian 100M dan 400M, para penonton disajikan dengan lompatan penuh bergaya oleh para peserta kategori Lelaki A bagi acara lompat tinggi di tengah balapan.Mereka menunjukkan persaingan dan semangat kesukanan yang tinggi.

Para pelajar pula tidak putus-putus memberikan sokongan padu kepada para peserta yang mewakili rumah sukan masing-masing. Lompatan demi lompatan yang dipamerkan sememangnya memberikan debaran yang kencang kepada para penonton yang menyaksikannya.

MENGHELA NAFAS SEBENTAR

Selepas berakhirnya acara larian 100M dan 400M serta lompat tinggi, para pelajar diberikan masa untuk merehatkan diri selama 30 minit bermula pada jam 10.00 pagi.

Namun, kemeriahan kejohanan tidak pernah berehat kerana para peserta yang telah memenangi acara larian 100M dan 400M telah menerima ganjaran masing-masing dalam upacara penyampaian hadiah.

Para penonton bersorak keriangan dengan memberikan tepukan gemuruh kepada para pemenang. Masing-masing begitu teruja untuk memastikan rumah sukan mereka menjadi juara.

KEJOHANAN ‘PANAS’ KEMBALI

Setelah hampir 30 minit berehat, acara kejohanan diteruskan lagi dengan acara larian 4x100M. Saban tahun, di mana jua, acara relay ini sentiasa menjadi kegemaran dan pilihan para penonton untuk menyaksikannya.

Pada kali ini, para penonton termasuk ibu bapa telah disajikan dengan aksi hebat oleh anak-anak mereka yang mengambil bahagian.

Persaingan yang sengit, semangat kesukanan yang tinggi dan kesungguhan yang membara, setiap aksi yang dipamerkan sentiasa mencipta debarannya yang tersendiri. Begitulah hebatnya penangan acara larian 4x100M ini.

Kejohanan Olahraga dimeriahkan lagi dengan aksi lucu lagi hebat oleh para pegawai kejohanan yang mengambil bahagian dalam acara larian 4x50M bagi pegawai lelaki dan baling gelung dalam sketel bagi pegawai perempuan.

Para pelajar pula bersorak keriangan dengan hilai tawa penuh kelucuan dan kepuasan.

Secara tidak langsung, semangat berpasukan yang ditunjukkan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan warga sekolah.

Apa yang penting adalah kerjasama dan kita telah bergembira!

MENUJU PUNCAK GEMILANG CAHAYA

Setiap majlis ataupun acara sudah semestinya ada kemuncaknya. Kemuncak inilah yang sangat di nanti-nantikan oleh setiap individu yang berada dalam suasana kejohanan olahraga ini.

Di mulai dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan perbarisan, Pasukan Kadet Polis mengungguli pertandingan tersebut diikuti dengan Pasukan Kadet Remaja Sekolah dan Pandu Puteri bagi kategori Pasukan Unit Beruniform.

Manakala, Rumah Kuat pula mengungguli bagi kategori Perbarisan Rumah Sukan diikuti Rumah Berani dan Rumah Megah. Bagi hiasan khemah pula, Rumah Megah diisytiharkan sebagai pemenangnya. MEGAH TERUS MEMBARA!

ANUGERAH KEUNGGULAN

Setiap kejohanan olahraga tidak akan lengkap jika tiada penganugerahan peserta terbaik bagi setiap kategori. Penganugerahan ini menjadi titik tolak bagi sekolah untuk memilih wakil terbaik untuk menyertai kejohanan di peringkat yang lebih tinggi.

Bagi kategori Lelaki C, Adik Mohd. Fadhli b. Sukiman (Kuat) adalah peserta terbaik dengan pencapaian sebanyak 4 pingat Emas. Adik Ihsan Ameen (Hebat) mengungguli kategori Lelaki B dengan memperolehi 4 pingat Emas juga. Kategori Lelaki A di anugerahkan pula kepada Adik Khairul Anuar b. Razak (Berani) dengan 2 pingat Emas.

Peserta terbaik bagi kategori Perempuan C pula dimenangi oleh Adik Aimy Amira (Berani) dengan kalungan 3 pingat Emas. Adik Nur Syakila bt. Jamil dianugerahkan peserta terbaik bagi kategori Perempuan B dengan pencapaian 5 Emas sepertimana yang dijangkakan. Manakala, Adik Siti Noramira bt. Samiti tidak menghampakan dengan kalungan 2 pingat Emas dalam acara kegemarannya.

Jikalau sudah ada perserta terbaik, sudah tentu ada olahragawan dan olahragawati.

Pada kejohanan olahraga kali ini, Olahragawan Kejohanan Olahraga SMK Penghulu Saad di sandang oleh Adik Mohd. Izar Razlan Shah b. Md. Isa (Berani) dengan merangkul 3 pingat Emas.

Manakala, Adik Nur Syakila bt. Jamil pula bersinar dengan kilauan 5 pingat Emas untuk menerima gelaran Olahragawati Kejohanan Olahraga SMK Penghulu Saad Kali Ke-28 tahun 2009.

KENANGAN TERINDAH RUMAH BERANI

Kini, kemuncak bagi segala-galanya ialah keputusan keseluruhan kejohanan. Adakah Rumah Hebat memenanginya lagi pada tahun ini? Keputusan pengadil adalah muktamad.

Setelah di campur, di tolak, di darab dan di bahagi, Rumah Berani mencipta sejarahnya tersendiri kerana menjadi Johan Keseluruhan Kejohanan Olahraga SMK Penghulu Saad Kali Ke-28 ini setelah menanti lebih kurang 9 tahun lamanya.

Sememangnya tuah telah memihak kepada seluruh ahli pasukan Rumah Berani. Bak kata pepatah, ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’.

Kenangan manis Rumah Berani diabadikan menerusi lensa kamera dengan diserikan oleh wajah kesayangan semua iaitu Tuan Pengetua SMK Penghulu Saad, Puan Hajah Salbiah bt. Maskan.

Benarlah kata orang, Sukan Menjana Keperibadian Unggul kerana keunggulan itu melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam arena masing-masing.

MAJULAH SUKAN UNTUK SEKOLAH, MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA!

— SMKPS

About SMK PENGHULU SAAT

Sekolah Menengah Kebangsaan Penghulu Saat Kampung Parit Raja Ahmad, 83500 Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Kod Sekolah : JEA 0022 Lokasi Sekolah SMK. Penghulu Saad terletak di Mukim 18, pekan Parit Sulong. Jaraknya daripada Bandar Batu Pahat kira-kira 25 kilometer. Di kawasan pekan Parit Sulong terdapat 2 buah Sekolah Menengah iaitu SMK. Penghulu Saat terletak di belakang SMK. Dato’ Sulaiman. Sejarah Sekolah Tahun 1976 : Tn. Hj. Daud Bin Ibrahim Pengetua SM. Dato’ Sulaiman telah mencadangkan pembinaan Sek. Men. Ren. Parit Sulong sebagai Sekolah Menengah ke-2 selain daripada SM. Dato’ Sulaiman di kawasan Parit Sulong ini. Tahun 1977 : Perancangan pembinaan SMR ke-2 di Kg. Parit Raja Ahmad, Parit Sulong di atas tapak No. Lot Tanah: 011873 dengan keluasan 42539m². Tahun 1978 : Pembinaan SMR ke-2 dimulakan. Akhir tahun 1980: SMR ke-2 telah siap pembinaannya. 04 Januari 1981: SMR. Parit Sulong mula diasaskan. SMR. Parit Sulong ini adalah cawangan kepada SM. Dato’ Sulaiman. Pada ketika itu segala pentadbiran sekolah ini di bawah pengurusan Pengetua SM. Dato’ Sulaiman. SMR. Parit Sulong ketika itu terdiri daripada : Jumlah pelajar = 220 orang Jumlah guru = 13 orang Jumlah kakitangan = 3 orang Jumlah kelas = 7 buah Pelajar SMR. Parit Sulong datang dari 7 buah Sekolah Rendah berhampiran iaitu :  Sek. Keb. Seri Chantek  Sek. Keb. Seri Tiga Serangkai  Sek. Keb. Parit Sulong  Sek. Keb. Seri Maimon  Sek. Keb. Seri Laksana  SJK. (C) Parit Sulong  SJK. (C) Kangkar Senangar 15 Disember 1982 : Pentadbiran SMR. Parit Sulong dipisahkan daripada SM. Dato’ Sulaiman dan En. Abd. Rahim Bin Hamzah menjadi Pengetua pertama sekolah ini. Beliau berkhidmat hingga 15 Disember 1983. 26 Oktober 1995 : Nama sekolah ditukar menjadi SMK. Penghulu Saat. Permohonan pertukaran nama ini dilakukan semasa pentadbiran Pengetua Tn. Hj. Syed Ali Bin Syed Salim dan telah diluluskan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (Unit Perancangan, Pembangunan dan Bekalan) pada 26 Oktober 1995. Nama sekolah ini, SMK. Penghulu Saat sebenarnya mengambil sempena nama seorang Penghulu ke VI Mukim Simpang Kiri iaitu MUHAMAD SAAD BIN KITAM. Muhamad Saat Bin Kitam merupakan seorang Penghulu yang paling banyak berjasa di kawasan pentadbirannya Mukim Simpang Kiri pada tahun 1917 – 1932. Hakcipta Terpelihara © 2009 SMK Penghulu Saat. SMK Penghulu Saat tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian, kehilangan atau kerosakan yang dialami dalam penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.
This entry was posted in KOKURIKULUM. Bookmark the permalink.

One Response to TEMASYA SUKAN DI SMKPS MENJANA KEPERIBADIAN UNGGUL

  1. mustaffa siraj says:

    Pada pengamatan saya, kejohanan olahraga pada kali ini adalah yang paling meriah dan menarik sejak saya bertugas di sekolah ini pada tahun 2006.
    Kunci kepada kemeriahan ini adalah komitmen padu guru dan pelajar sekolah… Syabas!
    Kalau macam ni, hilang penat badan….
    tapi ketua rumah sukan memang penat badan
    hingga tak sabar nak lepas jawatan
    Berani Hebat Megah kuat sengit bersaingan
    tapi Berani dimahkotakan johan
    tu yang gembira sakan….
    Rumah yang lain cuba tahun hadapan!
    See u in 2010…..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s