oleh: Tuan Haji Mohd Hasanin bin Tamio
Allah telah berfirman dalam al-Quran, Surah An-Nur yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
( Surah An-Nur Ayat 30-31. )
Berdasarkan ayat di atas terdapat beberapa perintah Allah, antaranya:
1. Kepada Lelaki
1. menutup pandangan mata daripada melihat sesuatu yang haram
2. menjaga kemaluan atau menjaga kehormatan diri
2. Kepada Wanita
1. menutup pandangan mata daripada melihat sesuatu yang haram
2. menjaga kemaluan atau menjaga kehormatan diri
3. Jangan menampakkan perhiasan kecuali sekadar yang zahir sahaja seperti cincin, jam tangan, gelang tangan dan sebagainya yang dipakai di tangan.
4. Perhiasan hanya boleh diperlihat kepada 10 orang kelompok manusia sahaja iaitu;
a. suami
b. bapa
c. bapa mertua
d. anak-anak
e. anak-anak tiri
f. adik beradik sama ada seibu sebapa atau sebapa atau seibu
g. anak saudara (daripada adik beradik lelaki atau perempuan)
h. perempuan-perempuan Islam
i. hamba
j. orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
k. kanak-kanak yang belum faham tentang aurat perempuan
5. Memakai tudung hingga menutup belahan baju( leher )
6. Jangan menghentakan kaki agar diketahui atau didengar orang perhiasan tersembunyi yang dipakai seperti gelang kaki dan lain-lain. ( termasuk kasut tumit yang boleh mengeluarkan bunyi kerana diletakkan besi pada tapaknya sehingga berbunyi ketika berjalan atau seumpamanya)
Pada hari ini jika kita perhatikan ramai di kalangan wanita Islam tidak mengambil berat tentang hukum menutup aurat. Hal ini mungkin kerana mereka tidak mengetahui atau senghaja meringan-ringankan hukum Allah SWT sehingga mereka berani melangar peraturanNya dalam hal berpakaian. Sebenarnya Islam tidak pernah melarang kaum wanita berfesyen selagi mereka tidak melanggar batas-batas yang telah digariskan oleh Allah SWT ke atas mereka.
Sepotong ayat al-Quran dari surah al-A’raf ayat 26, yang bermaksud:
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
Mengapa wanita Islam wajib menutup aurat ?
Kerana ia termaktub dalam al-Quran Surah Al-Ahzab ayat 59, yang bermaksud:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Bahagian manakah yang boleh diperlihatkan oleh kaum wanita?
Rasulullah s.a.w. telah bersabda :
“ Bahawa anak perempuan apabila cukup umurnya maka tidak boleh dilihat akan dia, melainkan mukanya dan dua tangannya hingga kepergelangan.”
( Hadis Riwayat Abu Daud )
Pengertian aurat.
1. Mengikut kamus Bahasa Arab;
Aurat ialah hal yang tidak elok untuk dilihat atau sesuatu yang memalukan apabila
dilihat.
2. Menurut Istilah Fiqh ;
Bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi daripada pandangan.
Catatan:
Apabila sesuatu bahagian itu menjadi aurat maka bukan sahaja dilarang (haram) diperlihatkan bahkan juga dilarang disentuh sama ada dengan tangan ataupun anggota badan yang lain kecuali darurat seperti doktor yang merawat pesakitnya.
PAKAIAN MUSLIM DAN MUSLIMAH MENURUT
AL-QURAN DAN AS-SUNNAH.
Batasan aurat wanita :
1. Di hadapan mahramnya ( orang yang haram dikahwini )
– wajib menutup anggota antara pusat dan lututnya.
– Haram menampakkan peha atau anggota di bawah pusat.
2. Di hadapan lelaki ajnabi ( yang halal dikahwini )
– Semua anggota kecuali muka dan dua tapak tangan ( hingga kepergelangan tangan ).
– Pendapat ini adalah menurut kebanyakan ulamak.
3. Di hadapan wanita mukminah
– Auratnya antara pusat dan lutut.
4. Di hadapan wanita fasik dan kafir
– Semua anggota kecuali muka dan dua tapak tangan.
5. Ketika seorang diri ( di dalam bilik atau di dalan bilik air )
– Auratnya antara pusat dan lutut.
6.Bersama suami
– Tiada batasan aurat.
Batasan aurat lelaki :
1. Di hadapan mahramnya ( orang yang haram dikahwini )
– wajib menutup anggota antara pusat dan lututnya.
2. Di hadapan perempuan ajnabi ( yang halal dikahwini )
– Sebahagian besar anggota termasuk antara pusat dengan lutut
3. Di hadapan sesama lelaki muslim
– Auratnya antara pusat dan lutut.
4. Di hadapan lelaki fasik dan kafir
– Sebahagian besar anggota termasuk antara pusat dengan lutut
5. Ketika seorang diri
– Menutup qubul dan dubur (kemaluan hadapan dan belakang)
6. Bersama isteri
– Tiada batasan aurat.
Syarat-syarat menutup aurat .
1. Tidak ketat atau sempit, tetapi longgar sehingga menutup bahagian bentuk tubuh badan yang mengiurkan nafsu lelaki.
2. Tidak terlalu tipis sehingga menampakkan warna kulit.
3. Tidak meyerupai pakaian yang berlainan jantina sama ada lelaki atau perempuan
4. Tidak meyerupai pakaian orang kafir
5. Sederhan bukan untuk bermegah-megah
6. Warna yang suram atau gelap yang tidak menimbulkan kegairahan orang yang melihatnya.
7. Tidak memakai harum-haruman atau wangian ketika di luar rumah
Dalam hal ini, umat Islam sepatutnya sedar bahawa kewajipan menutup aurat sama pentingnya seperti kewajipan menunaikan solat lima waktu yang tidak boleh ditinggalkan walau dalam apa jua keadaan kecuali bagi wanita yang sedang uzur syar’ie. Oleh itu marilah kita sama-sama menjunjung perintah Allah SWT agar hidup kita sentiasa diredaiNya, Amin.