PERGINYA SEORANG WIRA BERANI

Oleh: Umi Kalsum Idham

‘Wira Berani’  jolokan yang sering diberikan kepada Tn. Hj. Mustafa bin Siraj yang telah menamatkan perkhidmatannya sebagai GPK Kokurikulum SMK Penghulu Saat pada tanggal 14 Ogos 2014.  Beliau yang telah memulakan perkhidmatan pada 7 Januari 2006 , telah menabur bakti hampir 9 tahun di SMKPS.  Jelas terpancar pada wajah beliau yang begitu ikhlas bertugas di sini meskipun jarak kediaman beliau yang begitu jauh dari SMKPS. Bagi beliau jarak yang jauh bukanlah satu kekangan. Insan yang gemar membaca dan melancong ini telah melonjakkan nama SMKPS  dalam bidang kokurikulum sepanjang perkhidmatan beliau. Sikap beliau yang suka berkongsi ilmu dan mudah didekati menjadikan beliau disenangi oleh seluruh warga SMKPS.

IMG-20140814-WA0012

Amanat terakhir seorang ayahanda untuk anak-anak didiknya

Dalam sejarah perkhidmatan beliau, beliau telah  menerima anugerah Guru Kreatif daerah Batu Pahat sebanyak 3 kali. Antara kejayaan yang pernah dirangkul oleh beliau ialah Johan Pertandingan Menulis Pantun Radio Klasik Nasional, Johan Menulis Esei Patriotik Peringkat Negeri Johor, Penulis Skrip Drama Terbaik Negeri Pahang,  Johan sebanyak 7 kali pantun daerah Batu Pahat, dan 3 kali Johan Kuiz Kenegaraan Batu Pahat.

IMG_20140814_220037_-1596640341

14 Ogos 2014, tepat jam 3.30 ptg Tn. Hj Mustaffa bin Siraj menamatkan perkhidmatannya di SMK Penghulu Saat

Beliau jua banyak memberi pendedahan  cara untuk menyalurkan idea-idea penulisan terutamannya penghantaran karya ke akhbar dan Jendela Selatan. Sokongan yang tidak putus-putus menyebabkan semakin ramai bakat yang didedahkan dalam kalangan pelajar dalam bidang penulisan. Insan yang sentiasa tidak pernah lekang dengan idea ini merupakan seorang penulis yang telah menghasilkan sebuah antologi puisi peribadi dan 6 buah antologi puisi bersama. Malahan karya prosa dan puisi beliau sering tersiar di dada-dada akhbar dan majalah.

Perpindahan beliau merupakan satu kehilangan besar kepada kami warga SMKPS terutamanya peminat tegar laman blog ini. Pastinya ramai yang akan merindui coretan beliau di dalam blog ini. Beliau banyak memberikan idea-idea dan sokongan kepada anak-anak didik di SMKPS terutamanya dalam bidang penulisan.  Semoga segala tunjuk ajar dan ilmu yang dicurahkan selama ini akan menjadi satu titik permulaan untuk warga SMKPS lebih cemerlang pada masa akan datang.

IMG-20140814-WA0008

Pergi ke denai mencari rotan
Rotan diraut dengan tangan
Pergilah kasih pergilah tuan
Kami ditinggal dibuang jangan

Pergi belayar ke Kuala Bentan
Singgah sebentar di Pulau Redan
Budi tuan dalam ingatan
Selagi nyawa dikandung badan

Akhir kalam , terima kasih sekali lagi buat insan yang pernah menjadi permata berharga kami ini. Moga penghijrahan ini merupakan satu batu loncatan untuk beliau melangkah lebih jauh lagi dan seterusnya menabur bakti beliau untuk anak bangsa, agama dan negara. Jasa dan pengorbanan tuan selama ini hanya Allah yang mampu membalasnya.

 

 

About SMK PENGHULU SAAT

Sekolah Menengah Kebangsaan Penghulu Saat Kampung Parit Raja Ahmad, 83500 Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Kod Sekolah : JEA 0022 Lokasi Sekolah SMK. Penghulu Saad terletak di Mukim 18, pekan Parit Sulong. Jaraknya daripada Bandar Batu Pahat kira-kira 25 kilometer. Di kawasan pekan Parit Sulong terdapat 2 buah Sekolah Menengah iaitu SMK. Penghulu Saat terletak di belakang SMK. Dato’ Sulaiman. Sejarah Sekolah Tahun 1976 : Tn. Hj. Daud Bin Ibrahim Pengetua SM. Dato’ Sulaiman telah mencadangkan pembinaan Sek. Men. Ren. Parit Sulong sebagai Sekolah Menengah ke-2 selain daripada SM. Dato’ Sulaiman di kawasan Parit Sulong ini. Tahun 1977 : Perancangan pembinaan SMR ke-2 di Kg. Parit Raja Ahmad, Parit Sulong di atas tapak No. Lot Tanah: 011873 dengan keluasan 42539m². Tahun 1978 : Pembinaan SMR ke-2 dimulakan. Akhir tahun 1980: SMR ke-2 telah siap pembinaannya. 04 Januari 1981: SMR. Parit Sulong mula diasaskan. SMR. Parit Sulong ini adalah cawangan kepada SM. Dato’ Sulaiman. Pada ketika itu segala pentadbiran sekolah ini di bawah pengurusan Pengetua SM. Dato’ Sulaiman. SMR. Parit Sulong ketika itu terdiri daripada : Jumlah pelajar = 220 orang Jumlah guru = 13 orang Jumlah kakitangan = 3 orang Jumlah kelas = 7 buah Pelajar SMR. Parit Sulong datang dari 7 buah Sekolah Rendah berhampiran iaitu :  Sek. Keb. Seri Chantek  Sek. Keb. Seri Tiga Serangkai  Sek. Keb. Parit Sulong  Sek. Keb. Seri Maimon  Sek. Keb. Seri Laksana  SJK. (C) Parit Sulong  SJK. (C) Kangkar Senangar 15 Disember 1982 : Pentadbiran SMR. Parit Sulong dipisahkan daripada SM. Dato’ Sulaiman dan En. Abd. Rahim Bin Hamzah menjadi Pengetua pertama sekolah ini. Beliau berkhidmat hingga 15 Disember 1983. 26 Oktober 1995 : Nama sekolah ditukar menjadi SMK. Penghulu Saat. Permohonan pertukaran nama ini dilakukan semasa pentadbiran Pengetua Tn. Hj. Syed Ali Bin Syed Salim dan telah diluluskan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (Unit Perancangan, Pembangunan dan Bekalan) pada 26 Oktober 1995. Nama sekolah ini, SMK. Penghulu Saat sebenarnya mengambil sempena nama seorang Penghulu ke VI Mukim Simpang Kiri iaitu MUHAMAD SAAD BIN KITAM. Muhamad Saat Bin Kitam merupakan seorang Penghulu yang paling banyak berjasa di kawasan pentadbirannya Mukim Simpang Kiri pada tahun 1917 – 1932. Hakcipta Terpelihara © 2009 SMK Penghulu Saat. SMK Penghulu Saat tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian, kehilangan atau kerosakan yang dialami dalam penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.
This entry was posted in AKTIVITI SEKOLAH. Bookmark the permalink.

5 Responses to PERGINYA SEORANG WIRA BERANI

  1. SMK PENGHULU SAAT says:

    Sokongan tetap akan saya berikan, meskipun secara maya atau dari jauh. Pentadbir, termasuk GKMP dan KP juga perlu membantu – sebab mereka berada di depan mata dan surat2 melalui mereka. Meskipun penulis boleh gerakkan sendiri sebarang usaha, orang atas perlu menjadi penggalak dan penunjuk jalan – agar jalan di hadapan nampak terang dan bersuluh,,
    Benda penulisan ini, jika tanpa minat dan kesungguhan, memang tidak menjadi, kerana kekangan tugas di sekolah dan di rumah. Carilah ruang di mana yang boleh, Saya akan menyokong usaha itu meski tidak menghuni medan smkps

  2. SMK PENGHULU SAAT says:

    Terima kasih Tn Hj Mustaffa. Insya-Allah selagi hayat dikandung badan dan kesihatan mengizinkan segala amanat dan cita-cita kita akan saya, guru-guru dan pelajar-pelajar laksanakan. Namun sesebuah kejayaan harus juga perlukan sokongan daripada pihak pentadbir. Galakan dan kata-kata motivasi daripada pihak atasan merupakan penyuntik semangat dan keazaman yang perlu bagi seorang guru dan pelajar untuk melakar kejayaan. Kejayaan dan kreativiti saya dan pelajar-pelajar selama ini banyak mendapat sokongan daripada Tn Hj Mustaffa , En Mohsin Ibrahim, Tn Hj Zainal dan En Razak bin Othman yang tidak putus-putus menyumbangkan idea dan memberi komen positif. Saya amat berharap agar pentadbiran baharu pada tahun ini juga akan terus memberi perangsang dan semangat kepada kami untuk terus berkreatif. Namun begitu..kami masih berharap insan-insan yang telah melangkah pergi dari SMKPS ini akan terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kami.

  3. SMK PENGHULU SAAT says:

    Ya, kita berkongsi minat dalam bidang penulisan.. memudahkan kita mencari titik pertemuan perbincangan dan idea… apatahlagi mengajar subjek bahasa Melayu .. Walaupun saya tidak mengajar BM, namun itu bukan menghalang saya terbabit dalam hal kebahasaan.
    Saya dah nampak Umi jenis yang suka menolong dan tidak berkira – dan saya rasa saya pun begitu! Itu semua terbit daripada keikhlasan hati.. hal begitu tidak boleh dibuat2.. orang mampu menilai!
    Saya faham kerja mengedit bukan mudah, apatahlagi kekangan masa.. Kejayaan pelajar kita dalam pertandingan adalah cerminan usaha gurunya.. Teruskan beri motivasi kepada mereka.. Sayang jika bakat mereka terpendam begitu sahaja.
    Setiap perpisahan memang menyakitkan, namun kita masih ada banyak saluran untuk berkomunikasi… teruskan saluran itu untuk kebaikan bersama

  4. SMK PENGHULU SAAT says:

    Terharu, sedih..pelbagai perasaan melanda. Bidang penulisan memang telah lama berakar umbi dalam jiwa saya.Namum segalanya terhenti setelah saya berkeluarga. Kehadiran Tn.hj mustaffa dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi menyemarakkan semangat saya untuk menulis semula. Malahan kemenangan kita dan anak didik kita dalam pertandingan penulisan memberi saya keazaman untuk menggalakkan mereka berkarya.Sama seperti Tn. Hj semuanya berlandaskan keikhlasan.kerja-kerja menyunting hasil pelajar yang bukan mudah dilakukan merupakan kegembiraan buat kita.Mungkin minat yang sama menjadikan kita mudah untuk bekerjasama. Terima kasih tuan atas segala-galanya. Mana mungkin saya melupakan segala kenangan itu. Diharap kita akan terus berhubung untuk berkongsi idea dan berita. Sejujurnya saya benar-benar terasa kehilangan. Airmata saja yg mampu melegakan rasa buat seketika.

  5. SMK PENGHULU SAAT says:

    Terima kasih Umi atas catatan di atas.. Apa yang saya lakukan selama ini adalah atas landasan keikhlasan dan prihatin seorang sahabat, bukan semata-mata landasan antara guru dengan guru semata-mata. Teringat saya tolong hantar karya Umi ke Berita Harian dan Jendela Selatan. Masih simpan naskhah Tinta Kencana? Kita juga bersama-sama memenangi peraduan cerita kanak-kanak. Hmmm.. kenangan manis semua itu. Harap masih simpan segala momento itu..
    Kini saya sudah tiada di smkps. Diharap Umi teruskan aktiviti penulisan. Sebenarnya banyak saluran untuk hantar ke media. Umi boleh tulis cerpen.. Hantar la ke media spt Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Siswa dll. Alamat emel boleh dapat pada naskhah akhbar atau majalah itu. Tahun hadapan, hantar lagi cerita kanak-kanak.. Teruskan usaha membimbing pelajar. Walaupun saya tiada lagi di smkps, semangat dan emosi saya tetap mengiringi setiap detik langkah Umi di smkps – ataupun smkps secara umum. 9 tahun saya membina ukhuwah dan landasan perhubungan. Tidak mudah untuk segalanya lenyap dan pudar begitu sahaja…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s