MARHABAN PENGERAT UKHUWAH

Oleh:Umi Kalsum Idham

Parit Sulong,15 Ogos- Syawal bertandang kembali. Sempena mengambil keberkatan bulan yang mulia ini, Kelab Bilik Guru (KEBIRU ) di bawah pimpinan pengerusinya saudara Mohd Yassin bin Salleh telah mengaturkan program ziarah rumah ke rumah. Menurut beliau program ini adalah bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara ahli KEBIRU selain menghilangkan penat lelah setelah seharian bekerja. Dalam ucapannya, saudara Mohd Yassin juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan setugas yang sudi menerima kunjungan dan rakan-rakan yang sanggup meluangkan waktu turut serta dalam program ini.

Ucapan Pengerusi KEBIRU, Mohd Yassin bin Salleh

Ucapan Pengerusi KEBIRU, Mohd Yassin bin Salleh

Guu-guru menikmati juadah yang disediakan

Guu-guru menikmati juadah yang disediakan

 

20140815_134012

Jelas terpancar kegembiraan pada wajah guru-guru wanita apabila dapat berkumpul sebegini

Mantan GPK Kokurikulum, Tn. Hj. Mustaffa bin Siraj turut hadir bersama memeriahkan suasana

Mantan GPK Kokurikulum, Tn. Hj. Mustaffa bin Siraj turut hadir bersama memeriahkan suasana

Program Marhaban diteruskan pada 17 Ogos 2014 di rumah GPK Kurikulum, Encik Razak bin Othman yang saban tahun menerima kunjungan warga SMKPS. Bagi beliau inilah kesempatan terbaik untuk beliau mendekati staffnya. Beliau juga berharap  program sebegini akan terus dilaksanakan pada masa-masa akan datang.

 

Advertisements
Posted in AKTIVITI SEKOLAH | 2 Comments

PERGINYA SEORANG WIRA BERANI

Oleh: Umi Kalsum Idham

‘Wira Berani’  jolokan yang sering diberikan kepada Tn. Hj. Mustafa bin Siraj yang telah menamatkan perkhidmatannya sebagai GPK Kokurikulum SMK Penghulu Saat pada tanggal 14 Ogos 2014.  Beliau yang telah memulakan perkhidmatan pada 7 Januari 2006 , telah menabur bakti hampir 9 tahun di SMKPS.  Jelas terpancar pada wajah beliau yang begitu ikhlas bertugas di sini meskipun jarak kediaman beliau yang begitu jauh dari SMKPS. Bagi beliau jarak yang jauh bukanlah satu kekangan. Insan yang gemar membaca dan melancong ini telah melonjakkan nama SMKPS  dalam bidang kokurikulum sepanjang perkhidmatan beliau. Sikap beliau yang suka berkongsi ilmu dan mudah didekati menjadikan beliau disenangi oleh seluruh warga SMKPS.

IMG-20140814-WA0012

Amanat terakhir seorang ayahanda untuk anak-anak didiknya

Dalam sejarah perkhidmatan beliau, beliau telah  menerima anugerah Guru Kreatif daerah Batu Pahat sebanyak 3 kali. Antara kejayaan yang pernah dirangkul oleh beliau ialah Johan Pertandingan Menulis Pantun Radio Klasik Nasional, Johan Menulis Esei Patriotik Peringkat Negeri Johor, Penulis Skrip Drama Terbaik Negeri Pahang,  Johan sebanyak 7 kali pantun daerah Batu Pahat, dan 3 kali Johan Kuiz Kenegaraan Batu Pahat.

IMG_20140814_220037_-1596640341

14 Ogos 2014, tepat jam 3.30 ptg Tn. Hj Mustaffa bin Siraj menamatkan perkhidmatannya di SMK Penghulu Saat

Beliau jua banyak memberi pendedahan  cara untuk menyalurkan idea-idea penulisan terutamannya penghantaran karya ke akhbar dan Jendela Selatan. Sokongan yang tidak putus-putus menyebabkan semakin ramai bakat yang didedahkan dalam kalangan pelajar dalam bidang penulisan. Insan yang sentiasa tidak pernah lekang dengan idea ini merupakan seorang penulis yang telah menghasilkan sebuah antologi puisi peribadi dan 6 buah antologi puisi bersama. Malahan karya prosa dan puisi beliau sering tersiar di dada-dada akhbar dan majalah.

Perpindahan beliau merupakan satu kehilangan besar kepada kami warga SMKPS terutamanya peminat tegar laman blog ini. Pastinya ramai yang akan merindui coretan beliau di dalam blog ini. Beliau banyak memberikan idea-idea dan sokongan kepada anak-anak didik di SMKPS terutamanya dalam bidang penulisan.  Semoga segala tunjuk ajar dan ilmu yang dicurahkan selama ini akan menjadi satu titik permulaan untuk warga SMKPS lebih cemerlang pada masa akan datang.

IMG-20140814-WA0008

Pergi ke denai mencari rotan
Rotan diraut dengan tangan
Pergilah kasih pergilah tuan
Kami ditinggal dibuang jangan

Pergi belayar ke Kuala Bentan
Singgah sebentar di Pulau Redan
Budi tuan dalam ingatan
Selagi nyawa dikandung badan

Akhir kalam , terima kasih sekali lagi buat insan yang pernah menjadi permata berharga kami ini. Moga penghijrahan ini merupakan satu batu loncatan untuk beliau melangkah lebih jauh lagi dan seterusnya menabur bakti beliau untuk anak bangsa, agama dan negara. Jasa dan pengorbanan tuan selama ini hanya Allah yang mampu membalasnya.

 

 

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | 5 Comments

CATATAN TERAKHIR DI BLOG INI

DSCN2949
Assalamualaikum wbh

Setiap yang mula akan berakhir. Begitulah perkhidmatan saya sebagai guru di SMKPS. Setelah bertugas sejak 6 Januari 2006 hingga 14 Ogos 2014, saya melalui masa 8 tahun 8 bulan di sini. Saya bakal menjadi GPK Pentadbiran di SMK Tun Ismail, Batu Pahat.

Hampir 9 tahun saya di sini, pengalaman yang manis dan berharga sekali . Banyak kenangan manis tercipta. Di bidang olahraga, kita sentiasa berada dalam Top 7, malah pernah mendapat naib johan keseluruhan tahun 2009. Dalam permainan, kita mencipta nama dalam bola baling, bowling, takraw, hoki, skuasy dan ping pong. Kemuncak kejayaan ialah johan kebangsaan Portable Cooking With Nature tahun lalu.

Dalam koakademik lainnya, kita juga ada mencipta kejayaan. Tiga kali johan daerah dalam pantun, johan deklamasi sajak, kuiz perdagangan , bot solar, kereta solar dan mendapat tempat dalam drama Komsas. Pendeknya kejayaan yang menceriakan seluruh warga sekolah.

Jujur saya katakan,  saya amat gembira bertugas di SMKPS. Tiga kali saya menolak tawaran  pergerakan ke jawatan lebih tinggi kerana rasa gembira dan selesa di sini. Pengetua lama dan baru memberi sokongan yang amat baik kepada saya untuk menjalankan tugas, baik Puan Hajah Salbiah, Encik Mohsin Ibrahim mahupun Puan Hajah Ramlah Sapuan. Juga AJK Unit Kokurikulum di bawah setiausaha kokurikulum, Puan Hasniza Hasnan, Encik Norhisham Khalid dan rakan-rakan AJK lain yang amat saya senangi bekerja dengan mereka. Setiausaha sukan, Encik Yasin dan AJKnya pula gigih dan berdedikasi.

AJK Unit Kokurikulum SMKPS bersama saya

AJK Unit Kokurikulum SMKPS bersama saya

   Di sini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pengetua SMKPS, Puan Hajah Ramlah Sapuan, atas bimbingan dan kerjasama kepada saya. Juga kepada dua Guru Penolong Kanan,  Encik Razak Othman dan Encik Rosli Mohamad yang menjadi rakan pentadbir  konstruktif dan efektif.

Saya juga menghargai guru-guru kontinjen olahraga sekolah yang gigih berusaha untuk mengharumkan nama sekolah. Tidak lupa guru-guru kanan mata pelajaran, guru rumah sukan, guru penasihat badan beruniform, kelab, persatuan, guru kanan mata pelajaran, pengurus pasukan dan jurulatih , para kaunselor dan guru-guru semuanya  yang memberi kerjasama padu dan memudahkan kerja saya. Hendak disebut nama satu persatu terlalu ramai. Terima kasih semua.

Tidak lupa staf sokongan dan pekerja swasta yang banyak membantu. Secara peribadi, banyak program kokurikulum dapat dijalankan. Kursus kokurikulum,pertandingan kawad kaki dalaman, perkhemahan bersepadu, hari keusahawanan, majlis anugerah kokurikulum dan jamuan kokurikulum. Di samping mengelola pelbagai pertandingan hingga di peringkat negeri. Teringat semasa menjadi tuan rumah pertandingan kawad kaki peringkat negeri tahun 2006 dan 2007. Memberi kepuasan!

Laman blog SMKPS ini juga memberi kepuasan tersendiri. Setakat ini sudah 568  post dikeluarkan, dan diakses oleh  1,384,000 pelayar dari lebih 30 buah negara di dunia. Saya tidak tahu laman blog sekolah lain yang diakses lebih 1 juta kali! Saya sangat sayang laman blog ini dan diharap Puan Umi Kalsum, Encik Khamsuldin, Blogger Blog SMKPS dan yang lain dapat terus menghidupkannya. Lagipun, nampak gayanya, majalah Wadah Siswa dijangka terus mengambil bahan daripadanya setiap bulan. Jadi, jangan biarkan terkulai layu.

Saya juga berharap, Wadah Aksara dapat diteruskan pada tahun hadapan. Penat memang penat, tetapi buletin itu punya nilai akademik yang tinggi dan tidak banyak sekolah sanggup menghasilkannya.Ramai guru SMKPS yang boleh menulis, baik dari Pengetua, GPK, GKMP, guru Wadah Akdara mahupun guru lainnya. Sayang sekali bakat itu tidak terus dikembangkan. Sidang redaksi, termasuk Pn Fazlin, Puan Noor Haliza, Puan Hasrifah , Encik Rosmadi, Encik Mohd Khir dan lainnya, keep it up!

Maka di sini saya berharap sekolah ini akan terus melakar kejayaan dalam kurikulum , kokurikulum dan sahsiah pelajar. Berilah kerjasama kepada pengganti saya, juga kepada pengetua dan GPK sekolah ini. Saya doakan sekolah ini terus cemerlang.

Memang ada rasa sedih kerana meninggalkan SMKPS setelah hampir 9 tahun bersama guru dan pelajar. Jarak 26 kilometer dari rumah saya bukan satu kekangan buat saya. Tetapi saya perlu akur arahan Jabatan Pelajaran Johor. Saya yang menurut perintah…

Saya susun sepuluh jari memohon kemaafan atas salah silap saya selama ini. Halalkan yang termakan dan terminum. Terima kasih kerana membenarkan diri ini berada di bawah naungan payung besar SMKPS yang permai, mesra ,damai dan membahagiakan diri ini. Patah tumbuh hilang berganti, perginya diri ini nescaya mendapat pengganti yang lebih berkualiti.

Saya akhiri dengan serangkap pantun 8 kerat:

Bunga selasih di hujung perigi
di tengah paya ikan haruan
meredah rimba anak desa
mandi di sumur bersama puteri
Terima kasih sekalung budi
gembira saya bersama tuan
salah silap maafkan saya
panjang umur bersua lagi.

Sekian, terima kasih.
Mustaffa Hj Siraj
7 Januari 2006- 14 Ogos 2014
Di SMKPS

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | 4 Comments

KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUN SMKPS 2014

Encik Masli menyampaikan piala pusingan juara kepada ketua rumah Berani

Encik Masli menyampaikan piala pusingan juara kepada ketua rumah Berani

Oleh: Mustaffa Siraj

Parit Sulong, 7 Ogos – Kejohanan Olahraga Tahunan SMK Penghulu Saat melabuhkan tirainya pagi ini dengan rumah Berani muncul johan keseluruhan, diikuti rumah Mantap. Kejohanan ditutup rasmi oleh Pengerusi PIBG SMK Penghulu Saat, Encik Masli Mahpol.

Atlet bersaing dalam acara 4 x  400 meter

Atlet bersaing dalam acara 4 x 400 meter

Kejohanan ini sepatutnya disempurnakan pada 26 Jun lalu, tetapi cuti umum yang diisytiharkan kerana JDT menjuarai Liga Perdana Malaysia menyebabkan kejohanan ditunda.

Encik Masli menutup rasmi kejohanan

Encik Masli menutup rasmi kejohanan

Rumah Mantap pula muncul johan hiasan khemah. Turut hadir hari ini ialah Inspektor Ain Fikri Ngassri, Pegawai Perhubungan Polis SMK Penghulu Saat.

Dalam ucapannya, Encik Masli mengucapkan tahniah kepada pasukan yang berjaya dan menyeru para pelajar supaya mengekalkan kecergasan untuk menjadi pelajar yang aktif dan sihat.

Insspektor Ain Fikri bergambar kenangan dengan ahli rumah Berani

Insspektor Ain Fikri bergambar kenangan dengan ahli rumah Berani

-SMKPS

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | Leave a comment

MAJLIS PENYERAHAN TOPI KELEDAR 1MALAYSIA OLEH YB DATUK ZULKURNAIN KAMISAN

YB Datuk Zulkarnain menyerahkan topi keledar kepada pelajar SMKPS

YB Datuk Zulkarnain menyerahkan topi keledar kepada pelajar SMKPS

Oleh: Mustaffa Siraj

Parit Sulong, 7 Julai – Majlis penyerahan 150 buah helmet 1Malaysia selamat disempurnakan oleh YB Datuk Zulkurnain Kamisan, Exco Kerajaan Negeri Johor di Dataran Kejat SMK Penghulu Saat pagi ini. Hadir sama , Puan Hajah Ramlah Sapuan, Pengetua SMKPS, Encik Masli Mahpol, Pengerusi PIBG, Inspektor Ain Faikri Ngasri, guru-guru dan para pelajar.

YB Datuk Zulkarnain menyampaikan ucapan

YB Datuk Zulkarnain menyampaikan ucapan

Dalam ucapannya, YB Datuk Zulkarnain mengingatkan para pelajar supaya sentiasa mementingkan aspek keselamatan semasa menggunakan jalan raya. Beliau menyedari ramai pelajar SMKPS menunggang motosikal. OLeh itu kepekaan yang tinggi dalam aspek keselamatan akan mengelakkan musibah daripada terjadi.

DSCN2871

Puan Hajah Ramlah dalam ucapannya, menghargai usaha YB Datuk Zulkarnain mendapatkan bantuan topi keledar itu dan berharap lebih ramai pelajar berpeluang memiliki bantuan berkenaan pada masa yang akan datang.

Sebagai simbolik majlis, YB Datuk telah menyerahkan topi keledar berkenaan kepada 10 pelajar yang memiliki motosikal.

-SMKPS

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | Leave a comment

SMK PENGHULU SAAT JOHAN NEGERI PORTABLE COOKING WITH NATURE

Image
YB Tuan Hj Md Jais Sarday sedang menyampaikan hadiah kepada peserta SMKPS

Batu Pahat, 26 Jun – SMK Penghulu Saat muncul johan peringkat negeri Pertandingan Portable Cooking With Nature, yang berlangsung di SMK Tinggi, Batu Pahat , yang berakhir petang tadi.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian tahun 2012 dan 2013.  Majlis penutup dan penyampaian hadiah Festival Sains dan Teknologi kali ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Md Jais Sarday, Exco Pendidikan Kerajaan Negeri Johor, disaksikan lebih 250 pegawai JPNJ, pegawai PPD, Pengetua-pengetua, guru pengiring dan peserta seluruh negeri.

Image
Peserta dan guru-guru SMKPS bergambar kenangan

Untuk makluman, SMKPS telah muncul johan daerah sejak 10 tahun lalu, tiga kali johan negeri dan tahun lalu muncul johan peringkat kebangsaan. Dalam aspek pemanasan alat kepada solar, SMKPS muncul terbaik dengan mendapat 71 darjah Celsius. Aspek lain yang dinilai ialah penilaian alatan dan pembentangan power point.

SMKPS juga menjadi pengelola pertandingan Portable Cooking With Nature. AJK pengelola terdiri daripada Hasniza Hasnan, Nuzilah Abdul Rahman, Umi Umaroh dan Amirul Syafiq serta 12 AJK pelajar.

Image
AJK Pengelola Cooking SMKPS bergambar kenangan

Dengan kemenangan itu, SMKPS akan mewakili Johor  ke peringkat kebangsaan, yang akan berlangsung di negeri Kelantan pada pertengahan Ogos nanti.

Sidang Blog SMKPS mengucapkan tahniah dan semoga menyinar di peringkat kebangsaan nanti.

-smkps

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | Leave a comment

HARI TERBUKA DAN KEUSAHAWANAN SMKPS 2014

Pelajar menjual barangan sumbangan ibu bapa

Pelajar menjual barangan sumbangan ibu bapa

Oleh : Mustaffa  Siraj

Parit Sulong, 22 Jun – SMK Penghulu Saat menjalankan program Hari Terbuka dan Keusahawanan peringkat sekolah berkenaan hari ini.

Hari Terbuka yang dipanggil Dialog Prestasi membabitkan kehadiran ibu bapa dan penjaga pelajar, yang hadir ke kelas-kelas untuk mendapat maklumat prestasi anak-anak mereka.

Ahli badan beruniform KRS sedang menjual burger

Ahli badan beruniform KRS sedang menjual burger

Pada masa yang sama, ibu bapa pelajar Tingkatan 3 telah mendengar taklimat Penilaian Tingkatan Tiga (PT3), yang diadakan di  dewan sekolah. Taklimat disampaikan oleh Encik Razak Othman, Guru Penolong Kanan Pentadbiran

Beliau menjelaskan , Pentaksiran bagi subjek Sejarah dan Geografi akan diadakan Julai ini, diikuti Ujian Lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Manakala bagi ujian bertulis enam subjek teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains , Matematik dan lain-lain, akan diadakan Oktober nanti.

Pengerusi PIBG, Encik Masli sibuk mengendalikan gerai PIBG

Pengerusi PIBG, Encik Masli sibuk mengendalikan gerai PIBG

Dalam program Hari Keusahawanan, sebanyak 22 gerai jualan telah dibuka. Gerai terdiri semua unit beruniform , kelab permainan dan tiga persatuan koakademik. Sebagai tambahan, ada gerai buku, Bank Simpanan Nasional dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Jualan begitu laris, terutama gerai makanan. Persatuan Ibu Bapa dan Guru menjual jagung rebus dan bakar. Kelab Bilik Guru menjual barangan derma ibu bapa, seperti susu pekat, sardin dan sos tomato. Gerai-gerai lain menjual nasi ambeng, jagung kukus, burger, nasi ayam, pelbagai minuman dan sate.

Program Hari keusahawanan tamat pada pukul 1 tengah hari.

-SMKPS

Posted in AKTIVITI SEKOLAH | Leave a comment