PERTUKARAN CIKGU NORMAN IBRAHIM AMAT DIRASAKAN

Berita dan gambar oleh: Mustaffa Haji Siraj

BATU PAHAT, 29 November (SMKPS) – Pertukaran Cikgu Norman Ibrahim ke SMK Dato Syed Esa berkuat kuasa pada 1 hb Disember ini merupakan satu kehilangan besar kepada SMKPS.

Beliau yang telah berkhidmat di SMKPS sejak tahun 2002 telah memberi perkhidmatan cemerlang dan berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya selama ini.

Beliau mengajar subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani. Jawatan beliau di SMKPS ialah sebagai Setiausaha Sukan. Kemahiran dan kecekapan beliau mencatur perjalanan sukan sekolah memang diakui, walaupun beliau bukan berkelulusan bidang Sains Sukan.

Antara kejayaan yang dicapainya ialah membantu SMKPS mendapat naib johan Kejohanan Olahraga Batu Pahat tahun ini dan membantu pasukan bola baling Lelaki 18 muncul johan pertandingan tahun ini. Pada tahun ini, pasukan Perempuan bawah 15 dan 18 muncul johan daerah, sekali gus membawa SMKPS muncul johan keseluruhan Bola Baling daerah Batu Pahat.

SMKPS juga berjaya melaksanakan tugas dalam pengurusan sukan. Misalnya, berjaya menjalankan tugas sebagai Pengerusi Teknik dan Pertandingan MSSD Batu Pahat tahun 2008 dan 2009. Selain itu sejak beberapa tahun ini menguruskan pertandingan bola jaring, pingpong dan bola baling. Peranan beliau telah membantu kejayaan pengurusan semua di atas.

Menurutnya, pertukarannya ke SMK Dato Syed Esa adalah untuk mencari pengalaman baru setelah hampir sepuluh tahun berkhidmat di SMKPS.

Sidang blog SMKPS mengucapkan selamat berkhidmat di sekolah baru, semoga lebih berjaya dan tidak melupakan warga SMKPS. Terima kasih juga atas tugas dan peranan yang telah dimainkan.

-SMKPS

9 Sebab Hati Tidak Bahagia

Disusun semula oleh : Cikgu Ramlan Pit

Antara 9 sebab utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :

1. Pemarah
Sifat pemarah paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang.

2. Pendendam
Sifat dendam tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

3. Hasad dengki
Amalannya hangus akibat hasad dengkinya itu.

4. Bakhil
Sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan perkara lain-lain daripada dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama). Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah, tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui manusia

5. Tamak
Orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut… walau berapa banyak yg diminum tetap tidak habis juga… lagipun orang tamak selalu rugi.. Ingat ! yang dikatakan harta atau rezeki kita apabila dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak digunakan iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

6. Tidak sabar
Andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar.

7. Ego
Ibu segala mazmummah jadi ego membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.

8. Riak
Terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji.
Sentiasa berlakon-lakon di depan orang. Jika dipuji, akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak..takabbur dengan apa yang kita ada..

9. Cinta dunia
Tidak dapat menderita, …dapat pun menderita kerana apabila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. Apabila mati cuma bawa amalan dan doa anak yang soleh/solehah… Cinta dunia merupakan “neraka dunia” kerana dunia itu “panas” akibat dunia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Kesimpulan

Jadi yang meragut kebahagiaan sebenarnya bukanlah secara TOTALnya disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan tetapi ialah sifat MAZMUMAH.

Makin tinggi sifar mazmumah seseorang, semakin dia tidak BAHAGIA. Sama ada bermujahadah atau biarkan saja mazmumah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. Jadi..sama-samalah kita sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain…andai kita terleka dengan dunia buruklahh padahnya.

Wallahualam”

-SMKPS-

SALAM AIDILADHA BUAT SEMUA UMAT ISLAM

oleh:  Mustaffa Haji Siraj

BATU PAHAT  26 November, (SMKPS) – Umat Islam bakal menyambut Aidiladha pada hari esok. Di Makkah, 3 juta umat Islam sedang berkumpul di padang Arafah, sebelum berangkat ke Mina dan Muzdalifah bagi menyempurnakan Rukun Haji.

Ibadah Haji ini melambangkan pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail, apabila diperintahkan Allah Taala. Ketaatan nabi Ibrahim adalah mutlak.  Bagaimanapun, Allah hanya mahu menguju keimanan Nabi Ibrahim.

Maka kita sebagai umat Islam mesti sanggup berkorban demi kejayaan umat Islam dan ketinggian syiar Islam. Aktiviti korban yang dirancang oleh masjid, surau, taman perumahan dan kampung wajar dilaksanakan dengan penuh kesedaran ke arah menghayati maksur korban, di samping mengeratkan hubungan sesama Islam dan mengagihkan dalam kalangan orang ramai.

Lafazkan takbir pada Hari Aidiladha ini. Jayakan aktiviti korban di samping menikmati juadah bersama keluarga dan sahabat handai. Takbirrr!

-SMKPS

TIGA BELAS AURAT WANITA

Oleh : Cikgu Ramlan Bin Pit

1. Bulu kening – Menurut Bukhari, Rasullulah melaknati perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening – Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.
2. Kaki memakai gelang berloceng – Dan janganlah mereka (perempuan) menghentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan – Petikan dari S ura h An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah .
3. Wangian – Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang – Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.
4. Dada – Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka – Petikan dari S ura h An-Nur Ayat 31.
5. Gigi – Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
6. Muka dan leher – Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.
7. Muka dan Tan gan – Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja – Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.
8. Tangan – Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya – Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.
9. Mata – Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya – Petikan dari S ura h An Nur Ayat 31.
Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.
10. Mulut (suara) – Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik – Petikan dari S ura h Al Ahzab Ayat 32.
Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi – Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.
11. Kemaluan – Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka – Petikan dari S ura h An Nur Ayat 31.
Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya – Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.
Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.
12. Pakaian – Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud , An Nasaii dan Ibn Majah.
Petikan dari S ura h Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.
Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya -
Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
13. Rambut – Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

-SMKPS-

Kelebihan 10 Hari-hari Pertama Zulhijjah

Oleh : Cikgu Ramlan Pit

Ramai daripada kita yang telah maklum kelebihan 10 Malam-malam Terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai dalam kalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 Hari-hari Pertama dalam bulan Zulhijjah? Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.
Amalan yang dianjurkan padanya

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).
Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.
Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

-SMKPS-

Cadangan Jawapan Rumusan BM2 SPM 2009

Oleh: Cikgu Ramlan Pit

kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur

Cadangan pengenalan rumusan

Petikan membincangkan kelebihan/ faedah/ kebaikan/ manfaat tidur dari segi saintifik.
Ulang perkataan kepentingan = 0 markah

Cadangan isi tersurat : kepentingan tidur dari segi saintifik.
[ Calon wajib mengambil semua isi daripada petikan ]

1.Tidur amat penting bagi melancarkan proses metabolisme karbohidrat di dalam badan.

2.Tidur yang cukup mampu meningkatkan keupayaan untuk belajar dan

3.Tidur dapat membantu dalam memelihara daya ingatan seseorang.

4.Tidur memantapkan sistem ketahanan dalam badan seseorang.

5.Tidur dapat memulihkan pusingan biologi dalam badan.

6.Tidur dapat menyegarkan tubuh badan,

7.Tidur dapat meningkatkan produktiviti.

8.Tidur dapat mengurangkan risiko sakit jantung..

9.Tidur merupakan komponen penting bagi mendapatkan kesihatan yang baik.

Cadangan isi tersirat : Cara-cara mengatasi masalah sukar tidur
[ Calon tidak boleh mengambil mana-mana isi daripada petikan ]

1.Jangan mengambil minuman yang mengandungi kafein seperti kopi.

2.Mendapatkan khidmat kaunseling daripada kaunselor profesional jika mengalami masalah stres.

3.Mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersukan.

4.Mendapatkan ubat-ubatan yang disyorkan oleh pakar perubatan.

5.Elakkan daripada menonton televisyen hingga larut malam.

Kesimpulan :
Semua orang perlu tidur secukupnya agar dapat melahirkan individu yang sihat dari segi fizikal dan mantap dari segi emosi dan mental.

-SMKPS-

KEJAYAAN DI DEPAN

Oleh: Pitt remi

Kejayaan Nik Nur Madihah memperoleh 20 A tak mustahil dicapai oleh pelajar SMKPS

Anak-anak didikku
SPM bertamu lagi
debaran dan getaran rasa
menyelinap seluruh lubuk jiwa
Gunakan juangmu
sepanjang meniti ranjau di meja studi
peras segala ilmu yang terpahat
biar sampai semua tersemat
pada janjimu untuk ayahanda dan bonda
setiap saat menadah doa
buatmu anak didikku
Jangan ada rasa putus asa
jangan ada rasa jemu di dada
jangan ada rasa jerih di jiwa
jangan ada rasa gundah menjelma
Anak-anak didikku
sudah ada harapan menjenguk
di muka pintu kejayaan
tinggal lagi kamu
mengintai masa depanmu
bersama pengorbanan
yang bakal mengecap nikmat kejayaan
SMKPS

SMKPS CAPAI KEJAYAAN DLM FESTIVAL SAINS TEKNOLOGI BP

Berita oleh: Mustaffa Siraj

Gambar oleh: Ustaz Ihsanudin

 

Johan Portable Cooking With Nature bergambar dengan Penyelia Kokurikulum PPD B. Pahat dan Pengetua SMKPS

SENGGARANG, 17 November, (SMKPS) -  SMKPS  mencipta dua kejayaan apabila mendapat tempat dalam  majlis kemuncak Festival Sains dan Tekonologi daerah Batu Pahat yang berlangsung di SJKC Chong Hwa, Senggarang baru-batu ini.

Dalam pertandingan Cooking With Nature, peserta SMKPS yang terdiri daripada Siti Noratiah Naim, Hajwa Anati Nazlan dan Nurul Aqilah Mat Noh muncul johan. Manakala dalam pertandingan Kereta Solar, peserta SMKPS, Syazwi Yahya dan Siti Atikah Kadian mendapat tempat ketiga.

SMKPS turut mengambil bahagian dalam Festival Sains & Teknologi

Hadiah-hadiah pertandingan  disampaikan oleh Encik Ridzauan Ahmad, Penyelia Kokurikulum Pejabat Pelajaran Batu Pahat. Pengetua SMKPS, Puan Hajah Salbiah Maskan selaku Pengerusi JKD Sains daerah Batu Pahat turut hadir.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing- Itulah prinsip warga SMKPS

Tahniah kepada peserta SMKPS. Juga kepada guru penasihat, Encik Razak Othman, Encik Shafie Buyamin, Puan Suziyana Abdullah dan guru-guru Sains lain yang membantu mengharumkan nama sekolah.

-SMKPS

SELAMAT MENDUDUKI SPM KPD PELAJAR TINGKATAN 5

Oleh: Mustaffa Siraj

Gambar oleh : Ustaz Ihsanuddin

 

Amanat terakhir yang disampaikan oleh Pengetua SMKPS, Puan Hajah Salbiah

BATU PAHAT, 17 November (SMKPS)  – Seramai hampir 200 pelajar Tingkatan 5 SMKPS akan memulakan perjuangan di  medan peperiksaan apabila  peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula esok dan berakhir pada 16 Disember nanti.

Pada pagi esok, pelajar akan menduduki kertas Bahasa Malaysia 1 dan2, diikuti kertas Sejarah 1 pada sebelah petang. pada hari Khamis pula, pelajar menduduki kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2, serta kertas Sejarah 2.

Pada hari semalam, berlangsung majlis Restu Ilmu untuk mereka, bertempat di surau SMKPS. Majlis dimulakan dengan Solat Dhuha, Solat Hajat dan  Bacaan Yasin.  Seterusnya Raja  Zakaria Raja Ali telah berucap sebagai mewakili guru-guru.

Pengetua SMKPS, Puan Hajah Salbiah bt Maskan sempat bertanyakan khabar kepada ibubapa pelajar

Kemudian, Encik Mohd Arif Othman telah menyampaikan ucapan. Ini diikuti ucapan oleh Pengetua SMKPS. Puan Hajah Salbiah Maskan. Antara lain, beliau meminta pelajar supaya berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam SPM ini ke arah masa hadapan yang lebih cerah.

Para pelajar bersalam-salaman dan bermaaf-maafan diantara guru dan ibubapa

Majlis diakhiri dengan acara bersalam-salaman dan bermaaf-maafan antara pelajar, guru dan ibu bapa. Suasana hiba dirasakan, tambahan pula diiringi bacaan selawat.

Sidang Blog SMKPS mengucapkan selamat menempuh peperiksaan kepada pelajar SMKPS, semoga kejayaan menjadi milik anda.. Amin

-SMKPS

Salam Perpisahan

Selamat tinggal 2009 dan selamat datang 2010